Sunday, 12 February 2012

PERLANTIKAN PENGAWAS SEKOLAH 2012

SKTM Isnin 13.02.2012
Majlis Perlantikan Rasmi Pengawas SKTM berlangsung seperti yang dirancang. Tn.Hj.Yazid b. Rumbali, Guru Displin SKTM mengumumkan 52 orang murid yang telah dipilih sebagai pengawas sekolah bagi sesi persekolahan 2012. Majlis Perlantikan Rasmi Pengawas SKTM dimulakan dengan lafaz ikrar menerima tanggungjawab yang diketuai oleh Nur Izzati bt. Rosli, Penolong Ketua Murid SKTM 2012. Penyampaian watikah perlantikan pengawas 2012 disempurnakan oleh Ustaz Mohamad Shah b. Ramli, Guru Besar SKTM. Dalam ucapannya, beliau berharap agar peranan pengawas sekolah bukan sahaja membantu pihak sekolah melaksanakan peraturan sekolah malahan pengawas sekolah perlu menjadi 'rules model' atau contoh ikutan kepada murid-murid lain. Tahniah diucapkan kepada semua pengawas yang dilantik.

Thursday, 2 February 2012

MAJLIS BACAAN YASIN 2012

SKTM Jumaat 10 Rabiulawal 1433H.
Seperti tahun-tahun lalu, Majlis Bacaan Yasin oleh murid tahun 6 mengisi aktiviti sesi bacaan pagi pada setia pagi Jumaat. Majlis dijalankan bertujuan untuk memohon rahmat Allah agar permudah dan berkati kehidupan seterusnya mencapai kejayaan gemilang dalam UPSR yang akan mereka hadapi hujung tahun ini. Majlis Bacaan Yasin dipimpin oleh al-fadhil Ustaz Tn.Hj. Ishak b. Napiah, guru Pendidikan Islam SKTM. Turut hadir ialah guru-guru SK Teluk Medan. Seluruh warga SKTM turut mengaminkan doa yang dibaca.

Friday, 27 January 2012

SUMBANGAN MURID MISKIN


SKTM Khamis 26.01.2012
Penubuhan Kelab Guru dan Staf Sokongan SKTM bukan sahaja bermatlamat menjaga kebajikan ahli malahan turut bermatlamat menjaga kebajikan seluruh warga murid SKTM sekadar mampu. Atas visi dan misi tersebut, Kelab Guru dan Staf Sokongan telah menyumbangkan 2 buah basikal kepada keluarga Mohd.Shahrul b. Amat yang menghadapi masalah untuk hadir ke sekolah. Ayah kepada Mohd.Shahrul diserang angin akhmar kira-kira 2 tahun yang lalu menyebabkan keluarga mereka hilang pendapatan serta Mohd.Shahrul bersama 2 orang adiknya sering tidak dapat hadir ke sekolah akibat masalah pengangkutan. Sumbangan 2 buah basikal ini diharap akan menyelesaikan masalah keciciran dalam pelajaran Mohd.Shahrul dan adik-adiknya. Sumbangan disampaikan oleh Ustaz Mohamad Shah Ramli. Guru Besar SK Teluk Medan. Turut hadir ialah En.Mohd Yusof Jamaluddin ( PK HEM ) dan Pn.Harina Zaniol ( Pengerusi Kelab Guru dan Staf SKTM ). Dalam pada itu, Ujian Pengesanan Dalaman Tahun 6 masuk hari ke-dua. Keputusan ujian ini akan menjadi asas kepada TOV individu murid serta sasaran yang harus dicapai oleh murid pada setiap kali peperiksaan yang dijalani. Ianya juga memberi maklumat kepada guru untuk menentukan halatuju serta kaedah, pendekatan dan teknik pengajaran dan pembelajaran yang lebih berkesan.
( Untuk sumbangan kepada keluarga Mohd.Shahrul Amat sila hubungi/sms 0135211250 Ustaz Mohamad Shah Ramli )

PEMBELAJARAN BERASASKAN TOV INDIVIDU

SKTM Jumaat 27 Januari 2012.
Ceramah Motivasi Kecemerlangan UPSR 2012 mengisi waktu akhir jadual hari Jumaat minggu ke-4. Ceramah motivasi yang melibatkan murid tahun 6 dan tahun 5 tersebut disampaikan sendiri oleh Ustaz Mohamad Shah Ramli, Guru Besar SK Teluk Medan. Fokus utama ceramah ialah penekanan terhadap pembelajaran berasaskan TOV individu murid yang bakal dilaksanakan secara serius mulai tahun ini. Melaluinya, murid bersama guru menentukan sasaran yang perlu dicapai dalam setiap ujian yang dihadapi sehingga peperiksaan sebenar iaitu UPSR pada bulan September nanti. Program pembelajaran berasaskan TOV tersebut akan dilaksanakan secara berperingkat kepada murid tahun 5, tahun 4 sehinggalah ke tahun 1. Dalam ceramah tersebut juga, beliau turut mengimbas kembali kejayaan yang dicapai dalam UPSR 2011 dengan memaparkan wajah-wajah gemilang UPSR 2011 sebagai motivasi kepada calon UPSR 2012. Turut hadir ialah guru-guru penolong kanan, guru-guru tahun 5 dan guru-guru tahun 6.
( Jurufoto : Ustaz Omar Sabri )

Friday, 25 November 2011

SALAM MAAL HIJRAH 1433


Penghayatan Hijrah

Kesimpulan daripada khutbah Jumaat yang bertajuk Penghayatan Hijrah :
Hijrah terbahagi kepada 5 kategori

1. Hijrah Iman
Kita perlu mempertingkatan iman menerusi amal ibadah dan marilah kita membersihkan sifat-sifat keji (mazmumah) seperti riya', takbur, sombong, irihati, dendam dan sebagainya.

2. Hijrah Ilmu.
Ilmu itu adalah cahaya dan jahil itu berbahaya. Dengan ilmu, Rasulullah saw mampu mengatur strategi hijrahdan berjaya membangunkan Kota Madinah. Firman Allah dalam surah Al-Zumar ayat 9 yang bermaksud : Katakanlah lagi (kepadanya), "Adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui ? Sesungguhnya orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang yang berakal sempurna."

3. Hijrah Amal.
Kita hendaklah sentiasa meningkatkan amal soleh sebagai bekalan untuk hari Akhirat. Tanpa amal soleh bagaimana kita ingin selamat daripada azab kubur dan api neraka?Saidina Ali r.a pernah berkata yang bermaksud " beramallah untuk kehidupan duniamu seolah-olah kamu hidup selama-lamanya dan beramallah untuk kehidupan akhiratmu seolah-olah kamu akan mati keesokan harinya."

4. Hijrah Minda
Hijrah minda tidak sukar dilakukan kerana ia hanya perlu kepada mengubah cara berfikir daripada yang negatif kepada yang positif. Contohnya, kita biasa mendengar orang yang malas berusaha berkata, "rezeki secupak takkan menjadi segantang", atau orang yang suka menangguhkan kerja selalu berkata, " esokkan boleh buat" atau pekerja yang malas akan berkata, "kerja kuat pun gaji tak naik.."

5. Hijrah Akhlak atau tingkah laku.
Rasulullah saw berjaya mengubah perangai buruk Kabilah Aus dan Khazraj yang suka bergaduh dan bermusuhan kepada masyarakat yang saling berkasih sayang dan hormat menghormati di antara satu sama lain.
Keruntuhan akhlak antara punca umat Islam menjadi lemah. Pengaruh hidup masyarakat Barat yang terlalu bebas menjadi ikutan segelintir umat Islam seperti suka minum arak, berzina, berjudi, berpakaian seksi dan sebagainya Sabda Rasulullah saw yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari yang bermasud : "Sesungguhnya aku dibangkitkan untuk menyempurnakan akhlak (budi pekerti) yang mulia..